Showing posts with label Life. Show all posts
Showing posts with label Life. Show all posts

Saturday, 2 May 2009

Milik Siapa

Klik play untuk dengar...:)


Assalamualaikum. Lama sudah jari jemari ini tidak ku taipkan baris perkataan. Paling tidak untuk muhasabah diriku sendiri dalam meneruskan kehidupan sebagai hamba Allah.

Hidup manusia di dunia hanya sementara dan pinjaman dari Allah semata-mata. Ia ibarat satu pengembaraan perjalan ke suatu destinasi yang di tuju akhirnya. Banyak dugaan dan cabaran melanda sepanjang menempuh dan mengharungi liku-liku perjalanan itu. Yang pasti, semua dugaan itu adalah untuk menilai tahap kebergantungan kita kepada Allah dan sentiasa bersabar dengannya.

Sebagai manusia, kita juga sering cuai dan lalai untuk sentiasa mengingati sang pencipta. Kadang kita juga kurang bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan walau sekecil mana nilainya. Nafas setiap detik yang diberikan percuma oleh Allah semenjak dilahirkan sehingga detik ayat ini dibaca tidak pernah diminta untuk dibayar. Hanya perlu selalu bersyukur, malaksakan suruhanNya dan meningalkan laranganNya.

Milik siapakah hidup ini? Sesungguhnya semua kehidupan kita ini adalah milik Allah. Dan Dia yang berhak mengambilnya semula pada bila-bila masa yang telah ditentukan. Bezanya hanyalah bila, di mana dan bagaimana ia berlaku. Yang pasti, setia kehidupan akan berakhir dengan kematian. Dan hanya bekalan amalan kehidupan yang akan dibawa untuk dinilai oleh Allah.

"...maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan sebarat zarrah, nuscaya daia akan melihat (balasan)nya." (Az-Zilzal: 7-8)

Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang sentiasa mendapat keredhaan dan rahmat Allah dan mendapat syafaat dari baginda Rasulullah s.a.w.

Allahua'lam bissawab.

Thursday, 20 November 2008

Pertolongan Hakiki




Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Hari ini dengan rasa insaf dan bersyukur di atas kurniaan pertolongan Allah yang tidak disangka-sangka. Tanpa sedar, air mata yang lama tersimpan tiba-tiba mengalir tanpa diundang.
Rahmat Allah datang tanpa diduga. Biarlah ia menjadi sebahagian diari hidupku yang akan tetap aku semat di dalam memoriku.

Maha Suci Allah yang Maha Mendengar,
Sebagai manusia biasa, kita hanya mampu berusaha dan melakukan sesuatu perkara. Namun biarlah usaha tersebut kita sertakan dengan sabar dan seikhlas mungkin, disusuli pula dengan berdoa dan tawakal kepadaNya. Sesungguhnya Allah tempat untuk kita bergantung dan berharap.

Kadang-kadang semakin jauh kita kepadaNya, terasa semakin dekat Dia datang. Semakin cuba kita dekati, terasa hati semakin tenteram walau kalut dengan pelbagai urusan harian. Nasyid ibarat halwa telinga bila didengari sesekali menyentuh perasaan jiwa untuk terus mengingatiNya walau apa juga keadaan.

Ayat-ayat dan kalimat al-quran yang dibaca sesekali menyentak hati untuk terus merinduiNya lantaran mengingatiNya setiap waktu. Sesungguhnya Allah suka kepada hambaNya yang selalu mengingatiNya setiap pagi dan petang. Mudah-mudahan segala urusan dipermudahkan olehNya di samping mencari redhaNya yang hakiki.

Wallahua'lam.

Tuesday, 18 November 2008

Menghitung Nikmat Akbar




Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Tanpaku sedari, masa begitu pantas berlalu. Sehingga saat itu bakal muncul kembali setelah diundang sebagai tetamu Allah tahun ini. Alhamdulillah...segala puji bagi Allah yang mengaturkan segalanya untuk hambaNya.

Maha Suci Allah yang Maha Mulia, Maha Agung, kepadaMu kami sujud sembah, kepadaMu jua kami memohon pertolongan. Betapa besarnya nikmatMu ini yang Kau hadiahkan kepada kami. Semoga Engkau menerima kami seadanya kerana sesunguhnya kami selalu alpa dengan suruhanMu. Bimbinglah kami ke jalan yang Engkau redhai dan jangan Engkau ambil kembali nikmat iman dan taqwa yang telah Engkau anugerahkan kepada kami. Semoga kami akan menjadi hambaMu yang senantiasa bersyukur atas segala nikmatMu dan tidak kufur nikmat.

Ya Allah Tuhan yang Mentadbir Alam buana, tujuh petala langit dan bumi. Salam kami buat junjungan besar Nabi Muhamad s.a.w. dan para rasul serta nabi, dan para sahabat dan kerabatnya. Pautkan hati-hati kami untuk terus mentaati segala perintahMu dan meninggalkan segala laranganMu untuk menuju syurgaMu. Berikanlah kami kekuatan untuk mencontohi akhlak mulia junjungan besar Nabi Muhamad s.a.w.

Monday, 10 November 2008

Rindu Berbalas




Labbaikallahummalabaik...
Insyaallah ia hampir menjadi kenyataan
Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa
Allah yang Maha Agung
Yang menciptakan alam buana dengan sempurna
Tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia...

Labbaikallahummalabaik...
Engkau Tuhan yang Maha Pangasih lagi Maha Penyayang
Yang Maha Pengampun
Ampunilah kiranya dosa-dosa kami
Kurniakanlah kepada kami taufik dan hidayahMu yang penuh rahmat
Kami manusia insan hina yang selalu lalai dengan perintahMu

Labbaikallahummalabaik...
Terimalah taubat kami
Semoga Engkau akan terima kami seadanya
Sebagai tetamuMu kali ini yang menagih rahmatMu
Sepanjang perjalanan hidup kami dunia akhirat
Bimbinglah kami selalu untuk berada di jalan yang lurus yang Engkau redhai
Segala puji bagi Allah yeng Mentadbir alam ini...
Engkau yang mengaturkan sesuatu untuk hambaMu
Permudahkan lah segala urusan kami...

- Ibnu Amin @ 2008 -

Thursday, 6 November 2008

Unforgetable Moment 2004








Kenangan menunaikan umrah bersama isteri tersayang, bonda mertua, nenekanda, dan warga emas daripada Bukit Batu, Kulai, Johor pada tahun 2004.

Ziarahku kali kedua ini bersama orang tersayang menjadikan kunjungan ini lebih bermakna dalam sejarah hidupku. Saat pertama menjejakkan kaki ke tanah haram Mekah September 2001 tidak pernah luput dari ingatan dan tetap segar dalam benak ingatanku.

Perasaan gembira dan sayu bila kali pertama menyaksikan baitullah kaabah yang berdiri gah di depan mata, yang sukar ku gambarkan dengan kata-kata. Terasa diri ini begitu kerdil dan hina dengan diri seadanya.



Terlalu banyak pengalaman manis sewaktu melaksanakan umrah kali kedua ini. Banyak yang aku belajar mengenai kehidupan. Kebetulan lebih daripada sebahagian jemaah kami merupakan warga emas yang sebenarnya menambahkan lagi memori kami yang mungkin tidak akan pernah kami lupakan sehingga akhir hayat kami. Kami juga rasa bertuah kerana dapat bersama atuk bapak dalam umrah ini yang merupakan kunjungan terakhir beliau sebelum kembali kerahmatullah pada 10 Feb 2007....Al-Fatehah.

InsyaAllah akan ku ceritakan sedikit pengalaman umrah keduaku ini pada masa akan datang. Cukuplah sekadar ku beritahu bahawa ia tetap akan segar dalam ingatan sehingga akhir hayatku. Dan selalu terbayang-bayang saat dan tika di sana bersama mereka....(sebahagian ada dalam gambar tu....)

Teringat kata-kata seorang kawan yang baru kami kenali di bumi Manchester. Modal ke Mekah adalah perasaan rindu untuk mengunjungi lagi Baitullah jika pernah menyaksikan sendiri tanah suci yang penuh sejarah. Mengalir air mata bila mengenangkan bagaimana Rasulullah s.a.w. bertarung nyawa bersama para sahabat untuk menegakkan syiar Islam di muka bumi ini.

Pernah ku ditanya "...seronok tak pergi Mekah...?" Jawapannya sukar untuk dilafaz, tapi bergantung pada niat masing-masing untuk menziarahi tanah suci Mekah. Pernah juga ku ditanya "...apa yang best nyer pergi Mekah tu? bukan ke batu bata jer yang ada...nak tengok apa?" Tersentak mendengar soalan yang diajukan oleh seorang lelaki berumur sekitar 40-an. Semoga Allah memberi hidayah kepadanya...

Alhamdulillah...kunjungan kedua bersama isteri tersayang mengundang pula rasa rindu untuk menjadi tetamu Allah yang lebih mulia. Semoga Allah sentiasa meredhakan hasrat kami justeru menerima kami untuk sekali lagi mengunjungi tanah suci Mekah. Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya dan Dia yang mengaturkan sesuatu yang terbaik untuk diri kita sendiri. Semoga kunjungan seterusnya akan lebih bermakna buat kami.....(bersambung dalam siri akan datang.)

Monday, 13 October 2008

Intizaar


Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.

· Surah Al-A'raf ayat 189

هُوَ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَجَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا لِيَسْكُنَ إِلَيْهَا فَلَمَّا تَغَشَّاهَا حَمَلَتْ حَمْلاً خَفِيفًا فَمَرَّتْ بِهِ فَلَمَّا أَثْقَلَت دَّعَوَا اللّهَ رَبَّهُمَا لَئِنْ آتَيْتَنَا صَالِحاً لَّنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِين

Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu dan Dia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang-senang (bertenang tenteram) satu diri kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah dia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah dia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika dia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata): Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur.

Kawan

Kawan,
Satu perkataan mudah dilafaz,
Kawan mudah dicari tika kita tiada kesusahan,
Mereka pergi walau kita kadang-kala memerlukan,
Mereka datang dan pergi silih berganti, kecuali yang faham dan mengerti erti 'kawan'.

Memang tidak dinafikan begitu sukar untuk menemui seorang kawan sejati, yang bertemu dan berpisah dengan kita kerana Allah s.w.t. Dalam seribu, mungkin hanya seorang dua sahaja yang sering setia dalam jalinan ini. Yang sentiasa menghargaai erti sebuah persahabatan yang berpanjangan tanpa ada rasa curiga dan salah sangka.

Persahabatan kadang-kala disalah-ertikan gara-gara salah faham yang mungkin tidak diundang, yang tidak disedari atau disengajakan. Akibatnya, jalinan persahabatan yang pernah wujud terus diabaikan dan tiada nilai lagi, dan terus hilang tanpa tahu apa puncanya. Walau kita sedari kehilangannya dan semakin jauh perginya, dan cuba untuk menambatnya kembali, namun ia tetap mahu terlerai ibarat layang-layang yang terputus talinya...

Kawan... andaikata ada yang tersinggung oleh mu atas keterlanjuran perbuatan dan perkataan ku, maafkan lah kiranya insan ini yang mungkin tidak dapat memenuhi hak mu sebagai seorang kawan. Namun jika ada lagi peluang untuk bersama lagi, aku sentiasa menerima kembali. Percayalah, walau apa yang pernah berlaku, kau kawan ku akan tetap menjadi kawan ku hingga ke akhir hayatku....

Wallahua'lam.

Friday, 8 August 2008

Rama-rama dan Bunga

(Klik imej untuk lihat presentation)

Sesungguhnya Allah S.W.T. lebih mengetahui sesuatu perkara itu daripada kita sebagai makhlukNya.

Walaupun kadang-kala sesuatu yang kita terima merupakan sesuatu yang tidak diingini, dan sesuatu yang kita inginkan tidak pernah atau jarang kali kita perolehi.

Namun percayalah, sesuatu yang buruk itu kadang-kala ada kebaikan di sebaliknya dan begitu jua sebaliknya, ada keburukan dalam sesuatu kebagusan. Yang penting, kita seharusnya banyakkan rasa bersyukur dan bersabar dengan segala apa yang kita terima daripaNya samaada baik atau sebaliknya.... Mudah-mudahan kita akan menjadi insan yang sentiasa mengingatiNya.


**************@**************
Rahmat Ujian

Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu
Tak siapa pinta ujian bertamu

Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang
Mempunyai berbagai tafsiran

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

c/o
Harus ada rasa bersyukur
Di setiap kali ujian menjelma
Itu jelasnya membuktikan
Allah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja
Antara berjuta mendapat rahmatNya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu

Monday, 16 June 2008

Gaya Tidur

Gaya tidur? Pelik bunyinyer. Tapi ni cerita pasal kucing jiran kami kat sini. Geram tengok dia. Nama ikut kad pengenalan dia, QC. Umur tidak dinyatakan, tapi kami percaya dia masih muda remaja. Setiap pagi dia datang kat jendela dapur rumah, nak makan lah tu. Maklumlah, kitaorang suka kucing, ambil peluang jadikan dia kucing angkat...:) Selalu bagi makan, Insyaallah, rezki dia ada dalam rezki kami. Dan kami percaya ada hak dia dalam apa rezki yang kami ada.


Tengoklah tu dia tidur. Tempat special, atas katil kitaorang, suka pulak dia lepak kat situ setiap kali lepas makan pagi atau petang. Tu yang kadang2 geram, bukan geram dia tidur atas katil tu, tapi geram tengok dia tidur, cute. So, selalu lah kitaorang bersihkan katil tu.

Sebenarnya kitaorang pun tak sangka dapat 'jaga' kucing kat bumi England ni. Agak nya kucing atau haiwan ni dapat rasa kalau kita suka haiwan. Teringat pulak kucing2 yang pernah kitaorang jaga kat Malaysia. Macam-macam pengalaman sampai hantar ke klinik haiwan sebab kucing sakit pun pernah. Dan masa saya bujang dulu, pernah juga siapkan tempat kucing nak beranak dan sambut kucing beranak. Macam pak bidan pulak.

Walaubagaimanapun, alhamdulillah kami puas memelihara kucing, bagi makan, jaga kesihatan dan kebajikan kucing2. Sebab mereka juga adalah sebahagian makhluk Allah yang punya perasaan dan tidak pernah melakukan dosa, dan sentiasa bertasbih kepada Allah setiap masa. Wallahua'lam.