Thursday 20 November 2008

Pertolongan Hakiki




Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Hari ini dengan rasa insaf dan bersyukur di atas kurniaan pertolongan Allah yang tidak disangka-sangka. Tanpa sedar, air mata yang lama tersimpan tiba-tiba mengalir tanpa diundang.
Rahmat Allah datang tanpa diduga. Biarlah ia menjadi sebahagian diari hidupku yang akan tetap aku semat di dalam memoriku.

Maha Suci Allah yang Maha Mendengar,
Sebagai manusia biasa, kita hanya mampu berusaha dan melakukan sesuatu perkara. Namun biarlah usaha tersebut kita sertakan dengan sabar dan seikhlas mungkin, disusuli pula dengan berdoa dan tawakal kepadaNya. Sesungguhnya Allah tempat untuk kita bergantung dan berharap.

Kadang-kadang semakin jauh kita kepadaNya, terasa semakin dekat Dia datang. Semakin cuba kita dekati, terasa hati semakin tenteram walau kalut dengan pelbagai urusan harian. Nasyid ibarat halwa telinga bila didengari sesekali menyentuh perasaan jiwa untuk terus mengingatiNya walau apa juga keadaan.

Ayat-ayat dan kalimat al-quran yang dibaca sesekali menyentak hati untuk terus merinduiNya lantaran mengingatiNya setiap waktu. Sesungguhnya Allah suka kepada hambaNya yang selalu mengingatiNya setiap pagi dan petang. Mudah-mudahan segala urusan dipermudahkan olehNya di samping mencari redhaNya yang hakiki.

Wallahua'lam.

Tuesday 18 November 2008

Menghitung Nikmat Akbar




Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Tanpaku sedari, masa begitu pantas berlalu. Sehingga saat itu bakal muncul kembali setelah diundang sebagai tetamu Allah tahun ini. Alhamdulillah...segala puji bagi Allah yang mengaturkan segalanya untuk hambaNya.

Maha Suci Allah yang Maha Mulia, Maha Agung, kepadaMu kami sujud sembah, kepadaMu jua kami memohon pertolongan. Betapa besarnya nikmatMu ini yang Kau hadiahkan kepada kami. Semoga Engkau menerima kami seadanya kerana sesunguhnya kami selalu alpa dengan suruhanMu. Bimbinglah kami ke jalan yang Engkau redhai dan jangan Engkau ambil kembali nikmat iman dan taqwa yang telah Engkau anugerahkan kepada kami. Semoga kami akan menjadi hambaMu yang senantiasa bersyukur atas segala nikmatMu dan tidak kufur nikmat.

Ya Allah Tuhan yang Mentadbir Alam buana, tujuh petala langit dan bumi. Salam kami buat junjungan besar Nabi Muhamad s.a.w. dan para rasul serta nabi, dan para sahabat dan kerabatnya. Pautkan hati-hati kami untuk terus mentaati segala perintahMu dan meninggalkan segala laranganMu untuk menuju syurgaMu. Berikanlah kami kekuatan untuk mencontohi akhlak mulia junjungan besar Nabi Muhamad s.a.w.

Monday 10 November 2008

Rindu Berbalas




Labbaikallahummalabaik...
Insyaallah ia hampir menjadi kenyataan
Maha Suci Allah yang Maha Berkuasa
Allah yang Maha Agung
Yang menciptakan alam buana dengan sempurna
Tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia...

Labbaikallahummalabaik...
Engkau Tuhan yang Maha Pangasih lagi Maha Penyayang
Yang Maha Pengampun
Ampunilah kiranya dosa-dosa kami
Kurniakanlah kepada kami taufik dan hidayahMu yang penuh rahmat
Kami manusia insan hina yang selalu lalai dengan perintahMu

Labbaikallahummalabaik...
Terimalah taubat kami
Semoga Engkau akan terima kami seadanya
Sebagai tetamuMu kali ini yang menagih rahmatMu
Sepanjang perjalanan hidup kami dunia akhirat
Bimbinglah kami selalu untuk berada di jalan yang lurus yang Engkau redhai
Segala puji bagi Allah yeng Mentadbir alam ini...
Engkau yang mengaturkan sesuatu untuk hambaMu
Permudahkan lah segala urusan kami...

- Ibnu Amin @ 2008 -

Thursday 6 November 2008

Unforgetable Moment 2004








Kenangan menunaikan umrah bersama isteri tersayang, bonda mertua, nenekanda, dan warga emas daripada Bukit Batu, Kulai, Johor pada tahun 2004.

Ziarahku kali kedua ini bersama orang tersayang menjadikan kunjungan ini lebih bermakna dalam sejarah hidupku. Saat pertama menjejakkan kaki ke tanah haram Mekah September 2001 tidak pernah luput dari ingatan dan tetap segar dalam benak ingatanku.

Perasaan gembira dan sayu bila kali pertama menyaksikan baitullah kaabah yang berdiri gah di depan mata, yang sukar ku gambarkan dengan kata-kata. Terasa diri ini begitu kerdil dan hina dengan diri seadanya.



Terlalu banyak pengalaman manis sewaktu melaksanakan umrah kali kedua ini. Banyak yang aku belajar mengenai kehidupan. Kebetulan lebih daripada sebahagian jemaah kami merupakan warga emas yang sebenarnya menambahkan lagi memori kami yang mungkin tidak akan pernah kami lupakan sehingga akhir hayat kami. Kami juga rasa bertuah kerana dapat bersama atuk bapak dalam umrah ini yang merupakan kunjungan terakhir beliau sebelum kembali kerahmatullah pada 10 Feb 2007....Al-Fatehah.

InsyaAllah akan ku ceritakan sedikit pengalaman umrah keduaku ini pada masa akan datang. Cukuplah sekadar ku beritahu bahawa ia tetap akan segar dalam ingatan sehingga akhir hayatku. Dan selalu terbayang-bayang saat dan tika di sana bersama mereka....(sebahagian ada dalam gambar tu....)

Teringat kata-kata seorang kawan yang baru kami kenali di bumi Manchester. Modal ke Mekah adalah perasaan rindu untuk mengunjungi lagi Baitullah jika pernah menyaksikan sendiri tanah suci yang penuh sejarah. Mengalir air mata bila mengenangkan bagaimana Rasulullah s.a.w. bertarung nyawa bersama para sahabat untuk menegakkan syiar Islam di muka bumi ini.

Pernah ku ditanya "...seronok tak pergi Mekah...?" Jawapannya sukar untuk dilafaz, tapi bergantung pada niat masing-masing untuk menziarahi tanah suci Mekah. Pernah juga ku ditanya "...apa yang best nyer pergi Mekah tu? bukan ke batu bata jer yang ada...nak tengok apa?" Tersentak mendengar soalan yang diajukan oleh seorang lelaki berumur sekitar 40-an. Semoga Allah memberi hidayah kepadanya...

Alhamdulillah...kunjungan kedua bersama isteri tersayang mengundang pula rasa rindu untuk menjadi tetamu Allah yang lebih mulia. Semoga Allah sentiasa meredhakan hasrat kami justeru menerima kami untuk sekali lagi mengunjungi tanah suci Mekah. Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya dan Dia yang mengaturkan sesuatu yang terbaik untuk diri kita sendiri. Semoga kunjungan seterusnya akan lebih bermakna buat kami.....(bersambung dalam siri akan datang.)